Thursday 5 April 2012

Aku dan Dia: Hujah 1

Jam 5.00 petang. KLCC. Bualan yang tadinya terhenti bagai tanda menghormati kalimah suci lantas disambung:


Aku: Penilaian awak tentang saya jauh tersasar...Apa yang cuba saya kongsikan langsung tak mendapat tempat di sudut otak awak..sayang...


Dia: Saya faham..tapi, maaf. Perkongsian awak bakal menimbulkan fitnah pada diri sendiri.Tak salah berkongsi pendapat..tapi perlu ada garis pemisah..perlu wujud sempadan..


Aku: Sempadan apa? Sempadan gender? Garis besar yang sengaja diada-adakan untuk menutup hakikat bahawa saya juga mampu berhujah tuntas sebagaimana awak. Tembok-tembok adat yang selalu ditebalkan untuk menafikan hak saya untuk bersuara dan memberi pendapat?


Dia: Kenapa setiap kali kita berbincang, kelelakian saya dan keperempuanan awak yang selalu dibangkitkan? Nyata, awak yang jauh tersasar dari pucuk pangkal bicara kita hari ini..Kita berbincang tentang tanggungjawab seorang suami dan isteri.  Bukan kelelakian seorang suami dan keperempuanan seorang isteri...


Aku: Hukum alam, bukan? Ada Adam, ada Hawa. Kita kisahkan suami dan isteri dan tanggungjawab mereka. Kita secara tak langsungnya menyentuh kisah seorang lelaki dan juga perempuan yang banyak masanya kisah itu dibentuk oleh pemikiran kaum awak. Lelaki harusnya begini, perempuan harusnya begitu. Lelaki mencari rezki, perempuan moleknya jadi penyeri rumahtangga. Perempuan memang penyeri. Di ruang pejabat pun dia masih mampu bersinar dan berseri...kenapa perlu dipotong pendek langkahnya? Kenapa harus di sekat-sekat pemikiran dan kebebasannya?Sudah-sudahlah meletakkan tekanan ke atas kami..kami tak perlukan opressi dalam dunia maju sebegini...


Dia: Apa kaitannya antara tanggungjawab memakmurkan rumah dan membesarkan anak-anak dengan opresi seorang lelaki ke atas perempuannya? Kenapa setiap satu perkara perlu dikaitkan dengan ketidakadilan gender sedangkan rata-rata kita tahu, kaum Hawa, tempat terbaiknya adalah di rumah, melayani suami dan zuriat keturunan. Saya tak senang! Hujah awak jauh menyimpang dari ajaran...


Aku: Menyimpang dari ajaran siapa? Ajaran hasil tafsiran tok-tok guru yang banyak masanya meletakkan batas-batas tradisi dalam kehidupan melebihi batas-batas agama yang Allah turunkan? Teman, di situlah titik silapnya! Mengangkat, secara tradisinya seorang perempuan sebagai pengurus hal-ehwal domestik..rumah...suami dan anak-anak..sedangkan tidak pula dinyatakan dalam Al-Quran, perempuan itu, ruang lingkupnya hanya rumah, dapur dan tempat pembaringan. Hati-hati dengan mainan mulut manusia. Adat nyatakan adat! Hukum agama bunyikan hukum agamanya!


Dia: Adat kita bersemi dari hukum. Hukum meletakkan lelaki di luar rumah bukan untuk bersuka-suka, tapi untuk mencari rezeki. Besar tanggungjawabnya bukan, lelaki, keluar bekerja, menampung kehidupan diri dan keluarga. Jangan persendakan keteguhan seorang lelaki menjalankan amanah yang Allah beri. Dia, lelaki, dia yang perlu mencari rezeki...bukan membiarkan isteri keluar dan menjunjung beban.


Aku: Tolong. Jangan mudah-mudah mencampur urusan adat dan budaya dengan hukum Allah. Apa salahnya seorang isteri dan perempuan, melangkah keluar dari rumah, jika dia berniat membantu suami dan lelaki? Apa silapnya jika perempuan itu sendiri redha dan benar-benar mahu bekerja untuk keluarga dan kemajuan diri?


Dia: Dan, apa ruginya jika dia duduk di rumah? Membantu menjaga laman dan mententeramkan hati keluarga? Menyamankan hati suami yang mungkin selalu membara dengan tugas pejabat?


Aku: Dikatakan perempuan itu punya kemampuan melangkaui tugas-tugas antara dinding-dinding rumah! Perempuan itu cukup ilmu..dia cukup berguru..perempuan itu cukup kekuatan..kenapa tak dibiarkan saja bertebaran di bumi mencari rezeki, menggunakan segala ilmu yang tuhan berikan? Kenapa perlu dipasung kakinya di laman rumah?


Dia: Dan, kenapa pula perempuan mahu ingkar? Sibuk mahu menyumbang ilmu di luar, tetapi, kedekut menurunkan ilmu untuk membina akhlaq anak-anak sendiri? Ilmu tak perlukan tempat yang luas untuk dikongsi...besar pahalanya bila perempuan menjaga keluarga...mencurahkan ilmu tinggi buat darah daging sendiri. Saya tak nampak kurangnya peranan perempuan disini..


Aku: Ruang lingkup rumah tak membenarkan perempuan untuk berkongsi lebih dari apa yang dia sebenarnya mampu!Apalah malangnya jika dia yang berilmu dihalang berkongsi dengan khalayak yang lebih ramai dan besar? Jika dia mampu menyamankan laman rumah dan menyerikan ruang kerjanya dalam satu masa dan ketika, mengapa tak dibiarkan saja? Perempuan mampu berseri di mana sahaja...percayalah!


Dia: Aha...Penyeri yang berseri...penyeri mahkamah-mahkamah syariah, menuntut hak dan nafkah, bila suami menjatuh talak, dek kerana pengabaian pelbagai, hasil dari fokus seorang perempuan pada ruang pejabat yang berlebihan. Malang..memang malang...


Aku: Perempuan tak perlu ke mahkamah jika Memorandum Persefahaman Suami dan Isteri tak di terjah...Dia keluar mencari rezeki untuk meringankan beban suami..paling mutlak! Dia kepingin memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negaranya dengan ilmu didada...kepingin dia berbudi membayar cukai..berbangga dia bila mampu keluarkan zakat peribadi...Apa manjanya seorang lelaki, sedikit terabai, terus mengadu pada peguam syar'ie. Mana perginya sabar, toleransi dan matang fikiran? Mana pergi akal pertimbangan? Kesibukan perempuan membantu dirumuskan sebagai pengabaian lahiriah dan batiniah...mudah..cukup mudah...


Dia: Perempuan takkan mampu mendamaikan yang di rumah dan pejabat...dia tak mampu buat segala...dia bukan adiwira yang deras berlari, gagah perkasa, sangat tajam rasa dan pancaindera sehingga mampu menjadi penyelamat dunia...cukup sekadar dia menyelamatkan kapal rumahtangga dan nakhoda dan juragannya..


Aku: Bukan gelaran yang perempuan dambakan..peduli apa dengan "Super Mama", "Super Woman", "Wanita Besi" itu..dia sekadar menjadi diri sendiri yang diciptakan Allah hebat membahagi masa, mengurus pelbagai benda, menjaga diri, suami, keluarga dan juga kantor kerjanya dalam satu masa...tolong...jangan dicemburui dan di nafi kemampuan dia yang itu..perempuan memang mampu.


Dia: Begini. terima saja dengan mudah:


         Premis 1:Tempat terbaik seorang perempuan adalah rumah
         Premis 2:Akan ada pelbagai pengabaian jika perempuan bekerja
         Premis 3: Mencari rezeki tugas hakiki seorang suami


         Konklusi:Perempuan tak perlu keluar bekerja 


Aku: Mahu ditutup pintu debat, bila diskusi jadi hangat dan memberat? Saya bangkang pemberhentian hujah ini...Bertemu lagi di lain diskusi...

2 comments:

Pahmi said...

kalo saya, dah tak mampu berkata2 pada 'Kata-kata Dia kali yg ke-4' tu :P

norziediana said...

haha..terinspirasi secara hebatnya dari bacaan dan apa yang dipelajari masa wat master's dulu..sekadar berkongsi pendapat..