Friday, 31 August 2012

Maaf: Cerita Berat di Hari M.E.R.D.E.K.A!!!

Hakikat bidang tugas yang aku pilih sejak dari dulu - pendidikan tinggi - memberikan aku peluang yang terlalu luas untuk sama-sama menggali ilmu lama dan baru, mengenali adab, adat, bahasa dan budaya, meneladani sikap dan cara terpuji dan terpenting- lebih kritikal, arif, terbuka dan kurang ego- bodohnya dalam satu-satu perkara, agar aku tak sebarangan menidak dan mengiya, mana-mana pihak yang belum pun tentu ketahuan, betul dan salahnya..ini cerita-cerita yang aku kutip dalam banyak pertemuan dengan rakan-rakan baru, pelbagai tanah, lidah, rasa, politik dan percaya..Ini juga yang membuat aku lebih syukur dan bahagia bertumpah-darahkan Malaysia..lebih berhati-hati menilai dan memperkata.

Cerita 1:




Aku Rakyat Malaysia: Hugo Chavez, Presiden awak nampak menonjol melawan Amerika. Bagus. Sekurang-kurangnya ada yang berani melawan kuasa besar seperti itu.

(aku agak kagum dengan kelancangan mulut Presiden Venezuela ni..dia berani..ada prinsip tersendiri dalam cubaannya menidakkan rasa gila kuasa dan campur-tangan Amerika di pelusuk dunia. Selain Cuba, Venezuela adalah antara beberapa kerat negara Amerika Latin yang tak mudah tunduk pada negara Uncle Sam)

Dia Rakyat Venezuela: Hugo Chavez yang gilakan kuasa sebenarnya..Dia membesar-besarkan cerita Amerika untuk menutup keaiban dan memperlihatkan kebodohan sendiri. Dia pemimpin sosialis dari pedalaman, sangat rendah pendidikan, menggunakan fahaman sosialisme untuk kepentingan diri dan ahli keluarga. Tiada kebebasan pendidikan tinggi di Venezuela sebab dia takut rakyat cerdik pandai bangkit menentang pemerintahannya yang korup. Fahaman sosialismenya membuang kepercayaan agama, maka dia secara teorinya tak beragama. Venezuela mundur ditangan dia. Keperluan asas rakyat seperti air bersih, elektrik, pendidikan dll tak tersedia/terhad kerana kesibukan dia memakmurkan perut sendiri. Golongan profesional dan cerdik pandai lokal dimusuhi, rakan sekutu dari luar seperti Iran dilayan baik.

(ini antara intipati respon kawan baru yang aku jumpa tahun sudah bila aku tanyakan perihal politik pimpinan negaranya. Kawan aku ni berpendidikan luar negara yang optimis untuk membangunkan pendidikan Venezuela bila Chavez tersembam dari takhta. Ramai golongan profesional dan berpendidikan Venezuela yang berhijrah kerana kecewa. Respon aku yang mendengar luahan hatinya? TERKESIMA)

Cerita 2:




Aku Rakyat Malaysia: Apa perkembangan di Palestin? Masih bertelagah? Sampaikan salam saya pada kakak abang disana..kami di Malaysia sentiasa peka dan membantu mana perlu dan termampu.

(aku peluk dan kucup kedua-dua pipinya yang baru aku jumpa Julai lalu..sangat-sangat mendamaikan kalbu dapat bertemu saudara se-Islam dari tanah ramai rasul tu, bertanyakan khabar dan berita..)

Dia Rakyat Palestin: Awak semua dialu-alukan di Palestin. Tanah ni selamat. Perang takkan pernah berhenti selagi kami berjiran dengan Si Tamak seperti Israel tapi Palestin, terutamnya Gaza adalah tanah yang selamat untuk dilawati. Tanah kami subur..awak akan ketemu sayur-sayuran dan buahan yang sangat murah, segar dan besar-besar saiznya, tak seperti yang awak jumpa di Malaysia.

(cerita Palestin adalah antara cerita yang selalu bermain di hati, mulut dan kepala aku sejak dari dulu.. Tiada istilah aman di Palestin, sebenarnya sebab hampir setiap hari akan timbul masalah dan konfrontasi dengan Israel laknatullah.Aku kagum dengan sikap optimisnya bercerita tentang tanah air tercinta..tanah tu bergegaran bom hampir setiap masa tapi dia kelihatan sangat berani, teruja, bangga dengan tanah lahirnya...Palestin dimulutnya adalah tanah MERDEKA, yang bertuan empunya tapi di rampas kaum Israel yang jangankan bertanah tapi sebenarnya langsung tak punya apa-apa hatta debu! Jemputan mulutnya ke Gaza? tak ternafi...membuak rasa nak ke sana bila dapat jemputan sebegini rupa...mohon DIMAKBULKAN, Ya Allah)


Cerita 3:



Aku Rakyat Malaysia: Awak harus berbangga dengan Mahmoud Ahmadinejad!Dia satu-satunya pemimpin Islam yang sangat vokal mempertahankan kuasa nuklear Iran, sangat tegas berhadapan dengan Amerika, sangat tak kisah jika dipulaukan di sidang-sidang PBB hanya kerana mengutuk Israel dan Amerika. Dia berkarisma!

(sama seperti Chavez, aku juga amat kagum dengan Ahmadinejad atas kelantangan dia berbicara tentang Yahudi Zionis, Palestin dan kutukannya ke atas dominasi Amerika seluruh dunia..selain Tun Mahathir, aku tak nampak pemimpin Islam lain yang betul-betul berani bersuara secara terbuka sebegini, melainkan Hero Farsi ni...Dan Si Teman Baru amatlah terkejut dengan pujian aku pada presidennya nih..)

Dia Rakyat Iran: Ahmadinejad? Penipu besar dalam pilihanraya kami! Dia tipu undi..Dia tak sepatutnya berkuasa tapi penipuannya tak mampu disekat, kuasanya sukar digugat. Pihak-pihak yang menentang mudah-mudah di cop Pro-Amerika dan perlu di lawan. Ramai cerdik-pandai dihukum, diseksa, dipenjara kerana menentang pemerintahannya. Suami saya, seorang profesor universiti disana, tak terkecuali.

(respon aku sama dengan apa yang tertera di Cerita 1: TERKESIMA!)


Konklusi: Politik & Tanah & Merdeka

Kuasa Politik mampu menzahirkan manusia pelbagai perangai dan wajah..walau sealim/seberani/setegas/sebagus manapun peribadi/kelaku/kata-kata/idea dan prinsip yang cuba ditonjolkan oleh seseorang ahli politik..dia secara dasarnya tetap ahli politik yang mempunyai agenda politik tersendiri..Jangan mudah terpedaya dengan bentuk-rupa..Nasihat seorang sahabat nabi - Jangan dilihat pada tuan yang berkata, tapi lihat pada isinya. Maka jangan mudah mengIYAkan & meNIDAKkan sesuatu kerana penuturnya..katakan "YA" & "TIDAK" kerana isi tuturannya.

Percaturan Politik memerdekakan/menjajah..mendingin-hangatkan suhu sesebuah tanah.. Politik pelampau yang tak sudah hasil garapan Israel Zionis, contohnya, mampu mengucar-kacirkan tanah-tanah lain di dunia..Kalau tanah Palestin boleh senang-senang dijajah dirampas..itu juga yang boleh di lakukan dimana-mana. Bentuk jajahan dan rampasan tak semestinya bersifat material/fizikal..Pemikiran/ Hati/ Jati Diri Muslim seluruh dunia boleh saja dirampas dijajah pada bila-bila masa..melihatkan gelagat segelintir rakyat Malaysia ..aku tahu..kita masih dirampas..dijajah, sebenar-benarnya..




dan AKU? Masih belum benar-benar MERDEKA!

Maka

AKU & MALAYSIA...MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Merdekalah jiwa, Merdekalah minda!



No comments: