Sunday, 3 June 2012

Kisah-Kisah Politik

POLITIK-salah satu benda yang amat menarik perhatian aku buat sekian lama tapi dalam masa yang sama cukup-cukup memualkan..Musim Pilihanraya Umum bakal tiba dan akan kembalilah tercanang sana sini kisah dan ceritera bergaram asamkan politik yang akan (1) Melopongkan mulut (2) Menggeletekkan hati (3) Membingitkan telinga (4) Menyakitkan mata (5) Menggeledakkan minda dan (6) Menguji rasa dan fikir bila terpampang kisah-kisah berbunyi seperti ini:


Bahtera perkahwinan selama 35 tahun pecah - apabila seorang suami menjatuhkan talak tiga kepada sang isteri dek kerana "berlaga pawang" polititik parti. Kesian kat cucu cicit bila terpaksa berbahagi kunjungan raya bila Tok Wan dan Nenek tidak lagi sebumbung bersama, dek kerna talak tiga, di pagi pilihanraya.


# Manusia-manusia bermulut manis madu, berjanji ini itu- Jalanraya berturap hingga ke laman rumah, penempatan dan tanah kebun untuk generasi ke sembilan dan kesepuluh dan kesebelas, segala bentuk hutang langsai, bekalan air bersih dan letrik disegerakan..inilah janji-janji pilihanraya, belum pasti terlaksana, bila mereka genggam kuasa.


# Kejiranan yang dulu agak aman mula mengadu domba- Jiran penyokong totok Biru Tua mula bermasam muka dengan Jiran penyokong tegar Biru Laut.Ahli kuat Hijau Putih dan Merah Putih memulaukan masjid yang diimami oleh lelaki berlainan parti..Kenduri-kendara dikalangan lain fahaman dipinggirkan..ini pula emosi-emosi "mengarut, tak matang dan kurang cerdik" yang selalu saja membunga dihati pemangkah-pemangkah bangsaku, yang agak banyak melulu dan keliru.


# Pembogelan akaun-akaun persendirian bernilai ratusan jutaan dan hebahan pemilikan aset banyak dan terlampau- Kerta siasatan dan Suruhanjaya dimulakan bagi mengorek rahasia individu-individu tertentu yang kayanya terlebih, pengurniaan projek-projek kepada nenek kepada datuk kepada sepupu kepada ayah kepada anak menakan suami yang menimbulkan kontroversi yang bukan sedikit. Inilah sejarah-sejarah yang langsung tak dipelajari oleh orang-orang pelbagai parti. Ketamakkan yang akhirnya memakan diri, bilamana rakyat menuding jari, apabila duit melimpahi diri dan projek bantut tak menjadi. Sangat memualkan..


# Cabar-mancabar, debat-berdebat tak tentu hala dan tempat- Ini memang menggeletek hati..Dalam banyak-banyak benda yang boleh dibuat, dilaksana, dibukti, dikerjakan..cabar mencabar, debat mendebat yang tak ketahuan dipilih? Si Polan cabar Si Polan, Si A ajak Si B berdebat.Habis cabar dan debat, apa kesannya? Fitnah terus-terus melanda, duit tetap melimpah keluar untuk persediaan tempat, makanan, penempatan, pengangkutan dll.




Politik dalam jiwa aku adalah satu kondisi "Benci tapi Sayang", perumpamaannya..memualkan tapi amat perlu dirapati, diambil tahu dari pelbagai sudut agar aku tak "membeku" dalam bongkah-bongkah ais parti-parti tertentu. Mata kepala dan segala deria rasa menyaksikan sesuatu. Nampak benar-benar meyakinkan, tapi belum tentu mencapai KEBENARAN..


Dan disebabkan KEBENARAN itu milik mutlak Tuhan, maka aku sarankan, sebelum kalian memangkah memilih pemerintah, latihlah lidah dan hati untuk berpadu, berdoa agar pilihan kalian dipandu Tuhan, bukannya nafsu dan syaitan.


Berdoalah agar yang dipilih tidak akan sekali-kali menggugat IslamNYA, walau apa pun teduhan partinya, agar subur mekar rasa tenang, aman, kasih, suci, jujur dan integriti dalam setiap batang tubuh yang bergelar rakyat Malaysia terbitan pelbagai bangsa..


P/S: Sebagai tempat teduhan pemikir-pemikir Melayu Islam yang hebat dan hangat, Negara kita terlalu berkelebihan sebenarnya..dan Negara perteduhan umat Islam sebegini maju, aman, berilmu dan progresif amat-amat "menggentarkan" hati musuh-musuh Allah yang setiap saatnya mencari ruang kebinasaan. Kebinasaan paling mudah -ketidakstabilan politik- yang akan terjun membawa bersama-samanya, keamanan sosial dan kekayaan ekonomi. Kalian dan AKU...sentiasalah berdoa agar pilihan hati kita benar-benar berlandaskan petunjuk dariNYA, bukan kerana partinya, bukan kerana figura didalamnya.  Fikir-fikirkanlah...

No comments: